Monday, April 27, 2009

Gerakan Islah dan Dakwah,serta Harakah Islamiyyah


Muqaddimah

Sesungguhnya dakwah kepada Allah merupakan tugas para anbiya’ alaihimussalam. Mereka ini merupakan pilihan Allah dari kalangan hamba-hambaNya. Dakwah ini juga merupakan tugas pewaris dan pengganti para anbiya’ iaitu para ulama’ amilin dan pendakwah yang benar-benar ikhlas dari kalangan umat Muhammad SAW.Kerja ini merupakan sebaik-baik pekerjaan selepas beriman kepada Allah SWT dan selepas berpegang teguh dengan manhaj yang lurus kerana hasilnya adalah menunjukkan kepada manusia jalan yang benar, menyeru manusia cinta kepada kebaikan, membebaskan diri daripada kebatilan dan kejahatan serta membawa manusia keluar daripada kegelapan kepada cahaya.

Sebagaiman firman Allah SWT,

“Siapakan yang lebih baik ucapannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan dia berkata dengan penuh bangga bahawa dia adalah dari kalangan orang-orang Islam

Pengislahan Dalam Islam

Pengislahan menurut keterangan al-Quran dan Sunnah merupakan satu tuntutan yang wajib dilaksanakan. Berdasarkan syariat, pengislahan kepada masyarakat Islam merupakan fardu kifayah manakala pada individu pula pengislahan diri adalah fardu ain. Dalam bahasa al-Quran pengislahan diri ini disebut sebagai taubah, manakala pengislahan masyarakat dipanggil amar makruf nahi mungkar.

Pengislahan dalam Islam merupakan satu perubahan yang menyeluruh mencakupi segenap lapangan kehidupan manusia.

Dakwah dan Kewajipan Menyampaikannya

Dakwah kepada Allah ialah menyeru manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah semata-mata.Yang demikian hanya tercapai dengan membuat penyerahan diri sepenuhnya, memberi ketaatan yang menyeluruh,dan mencurahkan kecintaan yang sehabisnya bagi Tuhan Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi.

Ketahuilah bahawa dakwah kepada Islam pada zaman sekarang merupakan suatu kewajipan dan kemestian ke atas setiap umat Islam baik tua, muda, lelaki mahupun wanita, besar atau kecil. Semuanya mempunyai tugas dalam dakwah mengikut kemampuan dan keadaan. Sebagaimana perintah Rasulullah SAW ke atas umatnya yang menyuruh kita semua menyampaikan sesuatu daripada Baginda walaupun satu ayat.

Firman Allah SWT

71. Dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

110. Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.

Ayat lain Allah SWT berfirman,

“Hendaklah ada di kalangan kamu satu kelompok atau golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itu adalah orang-orang yang berjaya.”

Allah SWT memerintahkan kepada kita supaya mewujudkan satu ummah atau jemaah yang terdiri daripada ulama’ pendakwah sebagai petugas yang melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar.

Kelebihan Pendakwah

1.Mereka adalah sebaik-baik ummat manusia.

2.Menjadi saksi ke atas manusia di hari kiamat kelak kerana mereka telah menjalankan amanah menyampaikan Islam kepada manusia.

“Dan demikian kami telah jadikan kamu umat pertengahan agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul menjadi saksi atas perbuatan kamu.”

3.Mereka adalah orang yang berjaya di dunia dan akhirat.

4.Merupakan manusia yang sebaik-baik perkataannya.


5.Mereka adalah pewaris anbiya’
العلماء ورثة الأنبياء

6.Ketaatan kepada pendakwah dan ulamak pada martabat ketiga selepas Allah dan Rasul.

“Wahai orang-orang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul dan ulil amri dari kamu”
Ibnu Abbas ra. menafsirkan ulul amri adalah ulama’.

Sifat dan cirri-ciri yang perlu ada pada pendakwah.

1.Iman.

Pendakwah perlu yakin bahawa Allah lah yang Mahakuasa,tidak ada yang dapat memberi mudarat dan manfaat ke atas makhluk kecuali dengan izinNya.Iman merupakan senjata bagi pendakwah di dalam berdepan dengan cabaran-cabaran dan kesusahan hidup. Rasulullah SAW bersabda

“Jagalah (hak)Allah,pasti Allah akan menjaga engkau. Jagalah Allah pasti kamu akan mendapatkanNya di hadapan engkau. Jika engkau meminta, mintalah kepada Allah,jika engkau minta pertolongan mintalah tolong kepada Allah.Ketahuilah sesungguhnya jika umat manusia berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu dengan sesuatu,mereka tidak dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditentukan Allah kepadamu. Jika mereka berkumpul dan bersatu untuk memudaratkanmu dengan sesuatu,nescaya mereka tidak mampu melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditentukan Allah kepadamu.”
Riwayat at-Tirmizi.Hadis hasan sohih

2.Ikhlas.

Setiap amalan itu diukur dan diterima mestilah terdiri daripada 2 perkara iaitu bertepatan dengan syara’ dan ikhlas kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT

“Mereka hanya diperintahkan menyembah Allah dengan ikhlas mentaatiNya semata-mata kerana menjalankan agama”

3.Berilmu.

Di antara ilmu-ilmu yang asasi lagi penting ialah ilmu Al-Quran dan Sunnah,ilmu aqidah, feqah dan tasawuf, ilmu usul fiqh dan bahasa arab, ilmu sirah dan kefahaman dakwah, ilmu mengenai aliran-aliran semasa.Maka ilmu-ilmu ini wajib dipelajari dan diketahui lebih-lebih lagi oleh petugas dakwah kepada Allah.Sesungguhnya tanggapan ilmu-ilmu yang menyeluruh terhadap ilmu-ilmu Islam yang asasi di zaman ini akan memberikan kefahaman yang betul kepada pendakwah terhadap ajaran dan tuntutan Islam,ketulusan dalam ucapan dan amanah dalam penyampaian dakwah.

4.Berani.

Tidak takut kepada perkara yang hak dan tidak takut kepada selain daripada Allah.

Orang-orang yang menyampaikan risalah Allah mereka takut kepadaNya dan tida merasa takut kepada sesiapa pun selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pembuat perhitungan. Surah Al-Ahzab:39

5.Sabar.

6.Berakhlak dengan akhlak mahmudah dengan mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW. seperti jujur,amanah, berlemah lembut di dalam pergaulan sesame muslim,tegas dengan kemungkaran,tawaduk dan sebagainya.Pendakwah perlu menterjemahkan akhlak Nabi SAW dalam kehidupan mereka supaya menjadi contoh kepada manusia sekeliling.

Bagaimana Cara Berdakwah

1.Kajian dan suasana sekeliling (biah)
Pendakwah hendaklah belajar tentang tempat yang ingin mereka sampaikan dakwah kepada mereka.Hendaklah tahu masalah, kerosakan dan penyelewengan secara mendalam dan mengkaji uslub yang sesuai dengan akal dan kefahaman mad’u.

2.Mengikut asas dan cara berkomunikasi yang diajar oleh Rasulullah seperti:
1.Menggunakan bahasa yang mudah difahami
2.Tidak melampau-lampau,terlalu panjang dan membosankan.
3.Bercakap bersesuaian dengan tahap akal mereka. Sabda rasulullah,

أمرنا أن نحدث الناس على قدر عقولهم
“Kita disuruh untuk bercakap dengan manusia berdasarkan tahap akal mereka.”

3.Mulakan dengan yang lebih penting
Pendakwah hendaklah mengetahui perkara yand perlu didahulukan dan perkara yang perlu dikemudiankan.Menerangkan perkara yang asas sebelum perkara yang cabang (furu’), akidah sebelum ibadah,ibadah sebelum cara hidup,perkara umum sebelum yang khusus dan lain-lain secara berperingkat.

4.Jauhi perkara-perkara khilaf dalam masalah fiqh.
Pendakwah hendaklah mengetahui mazhab-mazhab fiqh lain yang muktabar supaya mereka tidak mengingkari orang lain yang berbeza mazhab pada perkara yang tidak patut diingkari.Imam Nawawi rahimahullah berkata, Pada masalah-masalah khilaf kita tidak boleh ingkar atau menafikannya,akan tetapi digalakkan dan disunatkan keluar daripada khilaf.Kaedah menyebut

الخروج من الخلاف مستحب
Keluar daripada khilaf mustahab

Hendak mengambil jalan yang menyatukan umat,bukan perpecahan dan permusuhan sesame manusia.Imam Hasan Al-Bana berpesan, “Kita amalkan perkara yang kita sepakati dan kita terima satu sama lain pada perkara yang kita khilaf padanya.”

5.Gunakan cara yang lembut dan memberi kesan

Maka dengan rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka.Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar,tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekitarmu. Surah Ali Imran:159

Keperluan dan kemestian Harakah atau Jemaah Islamiyyah

Tugas dan tanggungjawab dakwah yang berat ini dan yang diwajibkan Islam ke atas umat Islam, baik lelaki atau perempuan, tidak mungkin tercapai dengan usaha individu semata-mata tanpa ada satu jemaah yang menyusun dan mengikat usaha individu-individu muslim ini dan membuat perancangan, membuka jalan dan saling membantu. Kaedah menyebut:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Tidak sempurna sesuatu kewajipan melainkan dengannya,maka hukumnya adalah wajib.
Maka daripada kaedah ini,tidak sempurna kewajipan dakwah ini melainkan ada satu jemaah yang melaksanakannya,maka hukum wujudnya jemaah juga adalah wajib.

Penutup

Skop perbicaraan dakwah adalah terlalu luas sebagaimana luasnya medan dakwah itu sendiri dalam realiti yang sebenar.Semoga Allah membimbing kita semua menuju keredaanNya.
Wallahu a’lam.

0 comments:

About This Blog

About This Blog

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP